MITI kaji tarik syarikat China ke Malaysia

Monday, July 21, 2008


KUALA LUMPUR 20 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengkaji langkah yang sesuai bagi menarik minat perniagaan di China yang ingin menempatkan semula perniagaan mereka ke negara ini.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan beberapa masalah yang timbul di negara tersebut seperti masalah logistik, infrastruktur yang tidak memuaskan, peningkatan kos perniagaan selain undang-undang baru buruh turut mendorong pelabur asing di China keluar dari negara itu.
''Sebagai contoh, sebuah syarikat Britain yang mempunyai kilang di Johor dan China telah berhadapan dengan masalah tersebut bercadang untuk menutup operasi mereka di China dan meluaskan operasi mereka di Johor.
''Selain itu, pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) turut melaporkan kira-kira 300 syarikat Korea di China juga sedang meninjau negara lain sebagai pusat operasi mereka dan MITI akan cuba untuk menarik mereka ke sini,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan mesyuarat agung tahunan Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) di sini hari ini.
Tambahnya, MITI juga akan menambah infrastruktur perniagaan yang baik serta menawarkan pakej insentif yang menarik untuk menarik minat syarikat China datang ke negara ini.
'Kestabilan politik juga memainkan peranan yang penting dalam menarik mereka, selain itu kita juga akan memilih jenis perniagaan yang sesuai untuk di bawa ke negara ini.
MITI memberi fokus kepada perniagaan berskala sederhana dan berteknologi tinggi serta jenis-jenis produk yang ditawarkan mereka bersesuai dengan Malaysia, katanya.
Sementara itu, MITI juga akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meninjau peluang projek usaha sama antara kedua-dua buah negara bagi mengukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan China.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara semakin baik dengan pelaburan dari negara itu telah meningkat kepada RM1.9 bilion pada tahun lalu berbanding RM187.1 juta pada tahun 2004 iaitu peningkatan sebanyak 64.8 peratus.

No comments: