ADAB BERBEZA PENDAPAT

Thursday, June 18, 2009

1 Komentar
Perbezaan pendapat manusia sama ada dalam perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama atau urusan dunia merupakan lumrah hidup dan tabii hidup manusia. Namun ia bukanlah alasan untuk kita sentiasa bertelagah sesama sendiri sehingga membelakangkan adab dan akhlak. Bahkan dalam syariat Islam itu sendiri telah menggariskan prinsip-prinsip serta adab sekiranya timbul perbezaan pandangan dalam sesuatu hal atau urusan.

Contohnya, syariat Islam itu menggalakkan umatnya bermusyawarah untuk menentukan sesuatu urusan, dan dalam musyawarah itu akan lahir suasana untuk bermuzakarah, berdialog dan perbincangan yang sihat.

Dan perbincangan itu pula mestilah berteraskan kepada akal yang waras, pemikiran yang bernas serta perdebatan yang dilakukan dengan sebaik-baiknya. Yang mana kesemuanya ini bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan manfaat manusia seluruhnya.

Banyak sebab yang boleh melahirkan suasana perbezaan pendapat ini, di mana antaranya ialah berbezanya kefahaman terhadap sesuatu perkara, perbezaan hujah dan alasan yang bersandarkan kepada sumber yang juga berbeza, dan perbezaan penggunaan istilah atau bahasa. Malah ada juga yang berpegang kepada sesuatu pendirian secara membuta tuli tanpa ilmu pengetahuan yang sah, yang natijahnya melahirkan golongan yang berhujah dengan penuh kejahilan, ketaksuban, hasad dengki dan mengikut hawa nafsu.

Inilah antara gambaran yang diperlihatkan oleh al-Quran watak-watak jahil kaum Musyrikin yang tidak mahu mengakui kerasulan dan kebenaran Nabi Muhammad SAW walaupun baginda mendatangkan dalil-dalil, bukti-bukti dan bahkan mukjizat yang jelas dan nyata di depan mata mereka.

Namun disebabkan keangkuhan, kesombongan, hasad dengki dan kepentingan peribadi atau puak, maka segala dalil dan bukti yang jelas dan nyata ditolak.

Dengan menyusuri sejarah peradaban dan tradisi keilmuan tamadun Islam, kita dapati terdapat banyak khazanah penulisan cerdik pandai tamadun Islam yang mengupas isu perbezaan pendapat ini secara ilmiah dan bernas.

Antaranya, Adab al Hiwar (adab berdialog), Ilmu al Jidal (ilmu berdebat), Adab al Iktilaf (adab berbeza pendapat) dan sebagainya. Kesemua penulisan ini menjurus kepada membentuk suasana yang sihat, berakhlak dan beradab walaupun dalam keadaan masing-masing memiliki pendapat dengan alasan dan hujah yang berbeza-beza.

Inilah indah dan cantiknya agama Islam, iaitu agama yang bersifat syumul dalam segala hal, memiliki sifat kulli untuk semua kaum dan bahasa, serta berupaya menyatukan semua rupa bangsa di bawah satu payung yang besar lagi adil, walaupun mereka itu terdiri daripada pelbagai warna kulit, bahasa dan budaya.

Dalam semangat membentuk manusia yang beradab inilah maka adab-adab bermuzakarah yang digariskan oleh syariat Islam mesti berpaksikan kepada kebenaran, jauh dari segala bentuk pembohongan dan sentiasa berusaha menjauhi segala bentuk keraguan.

Bahkan kemuliaan adab-adab bermuzakarah ini hendaklah sentiasa dipertahankan walaupun berhadapan dengan mereka yang berhujah dengan alasan yang batil sepertimana yang telah dirakamkan oleh al-Quran, iaitu dialog antara Nabi Musa a.s dengan Firaun.

Akhlak

Sungguhpun memenangi perdebatan atau 'perang mulut' dengan Firaun, Nabi Musa tetap mempertahankan nilai-nilai ketinggian akhlak ketika berhujah dan berdialog sehingga memaksa Firaun yang batil itu menggelar Nabi Musa a.s sebagai gila dan ahli sihir.

Inilah antara hikmahnya apabila sesuatu hujah yang kuat dan benar itu disampaikan dengan penuh sopan, berakhlak dan beradab, maka ia secara tabii menjadi lebih bertenaga dan dapat diterima oleh orang ramai.

Lihat saja apa yang berlaku seterusnya kepada sekumpulan ahli sihir Firaun yang turut serta dalam perdebatan perdana antara Nabi Musa a.s. dengan Firaun itu.

Apabila Musa mengemukakan hujah-hujahnya yang jelas dan benar sehingga Firaun dan para pengikutnya tidak mampu berhujah balas lagi, dan setelah terbukti kepada mereka kebenaran Nabi Musa a.s dan terserlah kebatilan Firaun, maka berimanlah kumpulan ahli sihir tadi kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.

Inilah semangat yang ingin kita bawa dalam suasana perbezaan pendapat, iaitu sanggup menerima kebenaran dengan hati yang terbuka dan mengiakan kelemahan serta menolak kepalsuan.

Seterusnya agama Islam memperindahkan lagi ciri-ciri muzakarah itu dengan menuntut setiap ahli muzakarah agar bersifat rendah diri dan jauh dari segala sifat sombong dan menunjuk-nunjuk. Lihatlah kisah Nabi Sulaiman a.s. dengan burung Hud-Hud. Walaupun Nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar namun baginda tetap menerima hujah burung itu untuk membela diri dan memberi pendapat.

Ruang untuk berhujah bukan diberikan kepada yang memiliki alasan yang kuat dan benar sahaja, tetapi juga kepada mereka yang lemah dan batil untuk menyampaikan pandangannya. Lihatlah dialog yang berlaku antara Allah SWT dengan iblis.

Ruang yang luas diberikan Allah SWT kepada iblis untuk mengemukakan hujahnya walaupun jelas iblis berada pada pihak yang batil yang mana akhirnya tersingkap isi hati sebenar iblis untuk menyesatkan umat manusia seluruhnya.

Ini memperlihatkan kepada kita bahawa antara adab bermuzakarah atau berdialog yang sihat itu ialah memberi ruang kepada semua pihak untuk menyampaikan hujah masing-masing. Setelah semua hujah didengar barulah keputusan boleh dibuat secara adil dan saksama.

READ MORE :

shafwatul-islamiyyah-bainal-ikhtilafil