Shafwatul Islamiyyah Bainal Ikhtilafil Masyru’ wat Tafarriqi Mazmum” -Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Thursday, February 12, 2009
susun atur oleh: MASYITAH MD.HASSAN pada 12:03 PM“Fiqh Ikhtilaf: Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam Yang Dibenarkan dan Dilarang”
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam semoga dilimpahkan ke atas Rasulullah s.a.w., keluarga para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya.
Amma ba’du.
Bukanlah suatu yang membimbangkan saya jika kebangkitan Islam masa kini menghadapi musuh dari luar yang selalu mengintai dan melakukan berbagai konspirasi terhadapnya kerana itu merupakan sesuatu yang lumrah, sesuai dengan sunnatut tadaafu’ (sunnah pertarungan) antara yang hak dan yang batil yang telah ditetapkan oleh Allah pada kehidupan ini.
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah.”
(Surah Al-Furqan : 31)
“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian).”
(Surah Al-Baqarah : 217)
Tetapi, saya resah dan merasa tersentuh jika musuh itu datang dari dalaman kebangkitan Islam itu sendiri. Satu gerakan Islam melancarkan tipu daya terhadap gerakan Islam lainnya.
Saya tidak resah jika di dalam kebangkitan Islam terdapat berbagai madrasah, kumpulan atau jamaah yang memiliki manhaj tersendiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi, sesuai dengan penentuan sasaran, skala prioriti dan tahapnya.
Saya tidak termasuk orang-orang yang bermimpi, menginginkan dan menyeru kepada satu jamaah atau satu gerakan Islam yang akan menghimpunkan semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu pimpinan. Terlalu banyak halangan yang merintanginya, di samping keinginan yang memang tidak pada tempatnya.
Dalam berbagai tulisan, saya telah nyatakan bahawa, tidak menjadi masalah adanya beberapa kelompok dan jamaah yang berjuang untuk menegakkan Islam, apabila itu merupakan ta’addudu tanawwu’ (perbezaan yang bersifat variatif) bukan ta’addudu taarudh (perbezaan yang bersifat kontradiktif). Syarat lain adalah di antara semua pihak perlu ada hubungan kerja dan koordinasi sehingga saling menyempurnakan dan menguatkan dalam menghadapi masalah-masalah asas dan keprihatinan bersama harus mencerminkan satu barisan, laksana bangunan yang kukuh.
Tetapi betapa hati ini benar-benar tersentuh tatkala ada da’i dan aktivis Isam yang tidak menghargai masalah ini dan menyebarkan benih-benih perpecahan di mana saja ia singgah. Mereka sentiasa menyalakan api perselisihan dan perpecahan. Perhatiannya sentiasa tertuju kepada tempat-tempat perselisihan, bukan kepada titik-titik persatuan. Mereka sentiasa mengagumi pendapatnya dan jamaahnya sendiri sambil menuduh jamaah yang lain.
Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah bahaya, khususnya dalam soal furu’ (cabang) dan sebahagian usul (pokok) yang bukan asas. Tetapi yan berbahaya adalah perpecahan dan permusuhan yang telah diingatkan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.
Oleh sebab itu, kebangkitan Islam dan gerakan Islam dengan semua kecenderungan dan madrasahnya sangat memerlukan kesedaran yang mendalam tentang apa yang kami namakan sebagai Fiqh Ikhtilaf.
Ia merupakan salah satu cabang daripada lima ilmu fiqh yang harus ditekan dan diperhatikan kerana kita sangat memerlukannya. Kelima-lima fiqh itu ialah:
(1)Fiqh Maqasid (sasaran), suatu fiqh (pengkajian) yang tidak hanya berhenti pada juz’iyyat (cabang) dan kulit syariat saja, tetapi menembusi kuliyyat dan sasaran-sasaran syariat dalam segala aspek kehidupan. Fiqh ini menyempurnakan langkah yang telah ditempuh oleh Imam Syatibi di dalam Muwafaqatnya terutama memperhatian maqasid ijtima’iah (sasaran sosial).
(2)Fiqh Aulawiyat (keutamaan). Masalah ini pernah saya sentuh dalam buku Ash-Shahwah Al-Islamiyah Baina Mud wat-Tatharruf. Masalah ini sampai sekarang masih memerlukan pengkajian lebih jauh, mengenai perincian dan aplikasinya ke dalam realiti.
(3)Fiqh Sunan, yakni sunnah-sunnah kauniah (sifat alam) dan i’tima’iyah (sosial) yang telah ditetapkan oleh Allah di alam ini. Sunnah-sunnah itu bersifat “pasti” dan tidak berubah, seperti sunnah perubahan dan sebagainya.
(4)Fiqh Muwazanah Bainal Mashalih wal Mafasid (pertimbangan antara kemaslahatan dan kemudharatan) yang didasarkan kepada pemahaman, kajian ilmiah, objektif dan ketelitian terhadap realiti, baik realiti kita mahupun realiti orang lain dengan memanfaatkan semua data, informasi dan kemudahan moden.
(5)Fiqh Ikhtilaf (perbezaan pendapat) yang sudah dikenali sejak abad terbaik umat, yakni masa para sahabat, tabi’in dan para Imam mazhab. Perbezaan ilmiah yang terjadi di kalangan mereka tidak pernah menimbulkan impak negatif sama sekali. Kealpaan dalam menekuni Fiqh Ikhtilaf menyebabkan kita saling bermusuhan lantaran masalah-masalah kecil atau tanpa sebab sama sekali.
Sebelum ini, saudara kita yang mulia, Dr. Thaha Jabir Al-Ulwani telah menulis sebuah buku tentang Adabul Ikhtilaf fil Islam (edisi bahasa Indonesia diterbitkan leh Gema Insan Press dengan tajuk Perbezaan pendapat; Bagaimana Menurut Islam, pent). Buku tersebut sangat penting untuk dikaji. Manakala buku saya ini merupakan pelengkap bagi buku tersebut. Perbahasannya dikaitkan dengan realiti yang menyedihkan yang dihadapi oleh pergerakan Islam kontemporari.
Hampir setiap hari saya menerima surat dari pelbagai pelusuk dunia Islam, mengadu tentang para da’i dan aktivis Islam yang tidak menyibukkan diri kecuali dalam menimbulkan perselisihan dan menyebarkan tuduhan kepada para hamba Allah tanpa mempertimbangkan realiti, situasi, keadaan darurat dan “bencana” yang telah melanda masyarakat.
Oleh kerana itu, ketika saya diminta oleh para Ikhwan Panitia Muktamar Pemuda Muslim Arab di Amerika pada tahun 1989 untuk menulis masalah yang sangat penting ini, saya terus menyambutnya dengan senang hati, melihat kepada kepentingannya bagi kebangkitan Islam dan pergerakan Islam. Dengan memohon pertolongan Allah, saya menulis buku ini walaupun di dalam kesibukan tugas yang sentiasa menanti. Semoga Allah menjadikannya sebagai cahaya yang menerangi langkah pergerakan Islam yang sedar da kebangkitan Islam yang terpimpin. Semoga buku ini bermanfaat bagi penulis dan para pembacanya serta semua pihak yang memberi sumbangan dalam penerbitan dan penyebarannya.
“Allahumma, ya Allah! Kurniakanlah kepada kami cahaya yang akan menerangi langkah kami di dalam kegelapan, ketajaman pandangan yang dapat membezakan di antara hal-hal yang mutasyabihat serta keseimbangan yang akan menerangi kami di persimpangan jalan..."
“Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Tahrim: 8)
Ad-Dauhah, 22Jamadil Awal 1401 H
20 Disember 1989 M
Akhukum,
Dr. Yusuf Qardhawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment