KERANA KASIH SAYANG

Monday, November 16, 2009


Salam sejahtera selamanya buat semua, Email ini saya dapat dari seseorang, hasil coretan seorang ibu yang pada saya sangat baik untuk dikongsi bersama..Selamat membaca..

Allah anugerahkan anak ketiga saya cukup suka membawa pelbaga isu. Dia akan datang kepada saya atau ayahnya untuk mengenal pasti banyak perkara. Ada-ada saja aduan atau kritikan yang dilemparkan -selalunya mengenai tanggungjawab kamilah. Dia akan menyalahkan saya jika sesuatu tidak memuaskan hatinya. Namun saya bangga memiliki anak yang kritis mindanya walaupun sesekali ada juga rasa tersinggung dengan keceluparannya.

Dia anak yang pandai mencari ruang. Kalau perlu merayu dia akan merayu. Kalau perlu menangis dia akan meraung. Kalau perlu 'mengugut'dia tak segan-segan melakukannya. Kadangkala ketawa besar saya dan suami dibuatnya.

Saya dan suami perlu bersedia dan sepakat menghadapinya. Kami perlu menggunakan idea logik untuk mematahkan hujahnya yang kadangkala menggelikan hati - hujah seorang anak kecil yang jujur dan bersih.

Suatu yang saya kagum dengannya ialah sikapnya yang akan meminta maaf apabila hatinya puas berhujah dengan saya. Jika dia kalah dia akan minta maaf sambil ketawa dan akan meminta maaf dengan lebih sempurna beberapa ketika kemudian.

Suatu malam dia masuk ke bilik saya. Saya dan suami baru selesai solat Maghrib. Dia terus menghempaskan punggungnya di katil. Suami
saya menggenyitkan mata, isyarat akan ada perbahasan baru yang akan dibawa.

Saya cepat-cepat melipat sejadah dan telekung.

"Dah sembahyang?" suami saya bertanya.

"Dah..." jawabnya sambil mencapai sebiji bantal, terus menekup mukanya.

"Adik tak lulus ujian matematik!" katanya pantas penuh kejujuran.

Suami saya senyum dan duduk di sebelahnya dan berkata

"Tak apalah Adik boleh usaha lagi."

"Cakap je tak apa..! Nanti kat orang cakap Adik bodoh. Nanti abah dan mak bagi tahu kawan-kawan abah dan saudara-mara mak, Adik belajar tak pandai."

"Kalau dah usaha masih gagal nak buat macam mana?" suami saya cuba memujuk dengan suara lembut.

"Nanti lepas ni, abah dan mak kena beli buku latih tubi," kata Adik masih menyembunyikan mukanya.

"Apa asyik nak beli buku aja. Buku latih tubi kan banyak dah, ulang ajalah!" saya
menyampuk.

"Mak cakap senang, UPSR tak dapat lima A nanti, marah...!"

"UPSR kan dua tahun lagi. Banyak masa utk berusaha."

" Kan beli buku tu tanggungjawab abah dan mak, beli ajalah!"

"Betul tu....." balas suami saya. "Nanti abah beli hujung bulan ni."

"Asyik-asyik tunggu hujung bulan..... bosan!... Cuba jadi kaya macam bapa Emma tu, tak payah tunggu-tunggu hujung bulan."

Saya berpinar mendengar hujahnya. Sudah melampau, bisik hati saya. Namun saya sabarkan diri. Senang sangat anak sekecil ini mengeluarkan kata-kata begitu. Kalau besar nanti macam mana, hati saya terus berbisik.

"Adik...... tak baik cakap macam tu dengan abah!" saya berkata perlahan.

"Kalau susah sangat, biar Adik masuk perut mak lain. Adik masuk perut mak yang kaya. Tak payah tunggu hujung bulan," dia terus bersuara
sambil menangis teresak-esak.

Hujahnya itu memeranjatkan saya dan suami. Kami kelu seketika. Alangkah senangnya anak sekarang menyelesaikan masalah. Begitu mudah seperti mencampurkan 2 dengan 2.

Saya usap kepalanya. "Apakah mak dan abah tak cukup baik buat Adik?" saya bertanya.

Tiba-tiba tangisannya terhenti.Memberitahunya tentang takdir dan nasib dan ketentuan Allah agak sukar. Bercakap tentang qada dan qadar lagi tak sesuai. Dalam hal ini saya fikir hujah mesti logik. Saya mesti menang dalam perbahasan ini. Menang bererti Adik akan tenteram.

"Tak baik Adik berkata gitu, macam menyesal jadi anak mak..." saya mulakan, lembut. Dia membaling bantal terus menerkam saya. Disembam mukanya ke ribaan, menyesal agaknya.

"Cerita kelahiran seseorang berbeza. Ada yang lahir daripada perut mak yang kaya, ada
yang miskin. Tapi semuanya terjadi atas dasar Kasih- Sayang ," kata saya.

Adik memandang wajah saya, nyata sekali dia tak faham dan takkan dapat memahaminya, saya tahu. Saya katakan begitu sekadar bersuara.

"Setiap anak adalah hadiah daripada Tuhan. Adik adalah anugerah Tuhan kepada abah dan mak. Mak dan abah tak ada kuasa memilih. Adik juga begitu..." saya terus berkata-kata biarpun saya tahu, dia takkan memahaminya.

"Kerana Kasih-Sayang lah Adik lahir dan kerana Kasih- Sayang juga kami menjaga Adik dengan baik. Maka besarlah Adik dengan Kasih- Sayang .
Adik tak besar dengan duit!"

Tiba-tiba Adik bangun, merangkul dan terus mencium pipi saya. Air mata saya mengalir.... . Kami berpelukan agak lama. Saya nampak suami tersenyum.

"Nanti bila abah dapat gaji, abah beli buku Adik banyak-banyak tau.Adik nak dapat A semua dalam UPSR." katanya.

Dia kemudian melompat turun dari katil, menarik tangan saya dan ayahnya menuju ruang tamu. Saya ke dapur menyediakan makan malam. Saya nampak ada keriangan di wajahnya. Di dapur, air mata saya meleleh lagi. Agak sukar saya hentikan tangisan dan rasa sebak itu...- terharu sungguh.

Begitulah indahnya dan hebatnya Kasih- Sayang sehinggakan dalam hadis
Qudsi,Allah sendiri menyatakan kpd. Rasulullah s.a.w.

"Wahai Muhammad, kalau tidak kerana Kasih-Sayang Ku pada Mu, takkan ku jadikan Dunia ini."

Manusia yang hidup tanpa Kasih- Sayang ibarat makan nasi tanpa kuah dan lauk.Wallahulam

DOA BUAT IBU BAPA

Ya Allah,

Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,

Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku, peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,

Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku, atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku, jadikanlah itu semua penyebab rontotnya dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah, hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,

Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku. Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk
mereka, sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu di tempat
kediaman yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.


No comments: