Ilmu dan akhlak asas keperibadian mujahidah
Thursday, November 20, 2008
susun atur oleh: MASYITAH MD.HASSAN pada 11:01 AMBismillahirrahmnairrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Alhamdulillah hi rabbil alamain, wassalamuala asyarafil anbiya’ iwalmursalin waalaalihiwasahbihi ajmain.
Hadirin sekalian,
Mengikut kamus Dewan bahasa dan pustaka ILMU bermaksud pengetahuan, kepandaian, pelajaran, kajian, tangkal, azimat, guna-guna dan lain-lain yang bermaksud pengetahuan. Manakala AKHLAK pula dapat didefinisikan sebagai kelakuan atau tingkah laku yg baik.
Sidang dewan yang dikasihi,
Seterusnya marilah kita merenung seketika, siapakah yang dikatakan seorang mujahidah? Siapakah Mujahidah? Memetik dari buku “Adab Terpuji & Tanggungjawab Wanita Solehah” oleh Abdul Harith Zaidan, mujahidah adalah mereka yang tidak pernah merasa puas selagi Islam tidak wujud sebagai satu-satunya cara hidup manusia. Gelaran mujahidah diberikan kepada seorang wanita muslimah yang selalu berfikir dan bekerja tanpa mengenal lelah dengan tujuan untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Dan bukanlah namanya mujahidah seandainya ia hanya berpangku tangan melihat kemungkaran bermaharajalela serta masih merasa merdeka walaupun Islam dijajah serta dieksploitasi. Seorang mujahidah akan meletakkan Islam sebagai agenda perjuangan yang utama.
Sedarilah wahai muslimat, peranan mujahidah dlm menegakkan agama Allah bukan hanya terbatas pada aktiviti di dlm rumah shj. Akan tetapi, apabila tugas di rumah telah pun selesai, mujahidah boleh berjuang ke tengah medan masyarakat dalam apa jua bidang yg mampu asalkan tidak melanggar syariat yang ditetapkan. Renungkan sebentar kisah Khaulah binti Azur yang berani berperang bersama-sama kaum muslimin lainnya. Khaulah tidak gentar malah beliaulah yang membakar semangat kaum muslimin untuk menggempur musuh yang berlipat kali ganda ramainya sehingga meraih kemenangan mutlak. Begitulah besar dan hebatnya peranan mujahidah seperti Khaulah.
Walaupun begitu, pada hari ini, mujahidah bukanlah perlu mendepani musuh-musuh di medan perang, akan tetapi pejuang-pejuang agama Allah ini perlu menangkis serangan intelek-intelek Barat dan umat Islam sendiri yang mana menyokong penuh gagasan Islam Liberal. Pena mereka lebih tajam dari pedang sehinggakan ia memerangkap ramai umat Islam hari ini, lantas Islam dieksploitasi dengan mudah. Seperti mana Khaulah yang mempunyai ilmu bermain pedang semasa kecilnya, begitu juga dengan mujahidah hari ini yang perlu menghiasi dan membentengi peribadinya dengan ilmu dan akhlak islam.Malah, bukan sekadar menjadi benteng, bahkan biarlah ilmu dan akhlak itu menjadi pasak teguh dalam diri supaya bumbung perjuangan boleh memberi teduhan kepada yang lain ekoran teguhnya tiang rumah peribadi.
Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Seperti yang saya katakan tadi, untuk terjun ke tengah masyarakat, mujahidah memerlukan 2 elemen utama iaitu ilmu dan akhlak sebagai teras peribadi. Di sini, saya ingin dahulu menyentuh elemen ilmu yang perlu dibekalkan dlm diri seorang mujahidah. Lihatlah contoh mujahidah-mujahidah di zaman Nabi yang berhasil melahirkan generasi para sahabat sehingga dapat menakluk empayar Rom dan Parsi. Apakah mereka terdiri daripada orang-orang yang lemah fikirannya? Tepuk dada, tanyalah sejarah yang tertulis. Inilah antara sebab utama untuk ilmu menjadi teras keperibadian mujahidah supaya mujahidah dapat membangunkan keintelektualan akal di samping kekuatan fizikal dan jiwa.
Mujahidah perlu mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu sama ada ilmu fardhu ain atau fardhu kifayah. Firman Allah dalam surah al-A’laq, ayat 1 dan 2 yang bermaksud “Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”. Ayat ini dengan jelas menyuruh manusia membaca untuk menuntut ilmu, apatah lagi bagi seorang mujahidah yang perlu menggunakan ilmunya itu untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Begitu juga Allah menyuruh manusia berfikir dan menyelidik dalam mencari ilmu. Allah berfirman dalam surah al mulk, ayat 19 yang bermaksud
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembang dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu”.
Muslimat pejuang agama Allah yang dimuliakan,
Dewasa ini, begitu banyak serangan ideologi Barat diserap masuk sehingga melumpuhkan kekuatan umat Islam. Kita sedia maklum dengan Jaringan Islam Liberal, sekularisme pendidikan, kesamarataan antara agama, budaya hedonism, pluralism agama, dan berpuluh malah beratus-ratus ideologi Barat menyerang senyap pemikiran ummah sekarang. Justeru, mujahidah juga berperanan sama seperti mujahid dalam usaha membendung ideology-ideologi ini dari menjadi barah dalam masyarakat. Bertepatan dengan firman Allah di dalam surah Ali Imran yang bermaksud:
“ Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan utk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah”.
Dengan ilmu yang dipelajari, mujahidah akan lebih bersedia menentang dan menangkis serangan-serangan idealisme mengarut tersebut. Bahkan, dengan menjadikan ilmu sebagai teras dan budaya dalam diri, ia sekaligus dapat menafikan kenyataan-kenyataan para intelek Barat yang menyatakan bahawa golongan fundamentalis Islam adalah kurang membaca dan tidak berilmu. Begitulah besarnya pengaruh elemen ilmu dalam membentuk peribadi seorang mujahidah, seterusnya ia akan membuatkan seseorang mujahidah itu lebih berkeyakinan dan bersemangat dalam meneruskan perjuangannya untuk meletakkan Islam di tempatnya yang haq.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
Elemen kedua yang perlu dijadikan teras keperibadian mujahidah ialah akhlak. Bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Hadis Riwayat Mali, Ahmad Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)
maka akhlak perlulah menjadi pasak teguh buat peribadi seorang muslim apatah lagi mujahidah yang sedang memperjuangkan agama. Seorang mujahidah juga secara tidak langsung menjadi cermin bagi muslim yang lain. Masakan molek kiranya masyarakat memandang mujahidah sebagai seorang yang cacat akhlaknya? Tambahan pula, mujahidah sentiasa perlu menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Oleh yang demikian, eloklah kiranya mujahidah itu sendiri menghiasi peribadinya dengan akhlak Islam yang sebenar lantas secara tidak langsung ia akan menjadi role model kepada masyarakat di sekelilingnya yang rata-ratanya sudah kabur nilai akhlak.
Hadirat sekalian,
Bukanlah namanya seorang mujahidah andai ia tidak berakhlak dengan akhlak yang diajarkan Rasullah saw. Memang benar, mujahidah ialah seorang manusia biasa yang bukan ma’sum tanpa dosa, tetapi ia hendaklah senantiasa bermuhasabah dan menilai semula akhlaknya di penghujung waktu harinya. Apakah hari ini ia menampilkan akhlak yang mulia dan meraih redha Allah swt? Dan dari situlah seorang mujahidah itu memperbaiki diri dan akhlak pada keesokan harinya serta secara tidak langsung menjadi mujahidah yang sangat sensitif dengan akhlaknya sendiri. Bahkan mungkin sahaja masyarakat yang hampir tenggelam dalam kenikmatan dunia boleh terpesona dengan akhlak yang ditunjuki seorang mujahidah. Selak sahaja lipatan sejarah mujahidah terdahulu. Bagaimana kisah Rabiatul Adawiyah mempamerkan cintanya kepada Allah dan akhlaknya sehingga Hasan al Basri menjadi wali Allah yang dikasihiNya. Dan renunglah semula peribadi akhlak Siti Khadijah sehingga ia dihormati dan disanjungi oleh orng Islam dan bukan Islam. Tidakkah mereka itu berakhlak dengan akhlak yang mulia?
Justeru itu, amat penting keperibadian seorang mujahidah dipasakkan dengan akhlak yang mulia. Supaya peribadi itu teguh dan kuat membentengi arus perjuangan yang kian mencabar. Bersesuaian dengan Sabda Nabi junjungan mulia yang bermaksud: "Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak lebih daripada akhlak yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi).
Sedarlah wahai pejuang agama Allah yang dikasihi,
Sejak dari dahulu lagi sememangnya ilmu dan akhlak adalah dua elemen yang penting dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah dan mengembalikan kegemilangan yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu. Andai ilmu dan akhlak dijadikan teras keperibadian setiap mujahidah, saya dengan yakinnya beranggapan bahawa nur Islam itu akan kembali menyinari kita dan ummah ini.
Sebelum langkah diundur izinkan saya mengakhiri pidato saya dengan serangkap sajak..terimalah…
Mujahidah.....
Mampukah kudratmu menongkah arus
Menabur bakti di luar kepompong duniamu
Kau insan berhati salju
Mudah cair dibahang kemelut
Akalmu senipis sutera
Mudah dicarik segala dusta
Berjayakah engkau mujahidah??
Mujahidah....
Mengapa kau sangsi dengan upaya dirimu
Pastinya tiada istilah srikandi jika bukan untukmu
Ubahlah minda anjaklah paradigmamu
Lengkaplah dirimu dengan ilmu Islam dan akhlak yang terpuji
Binalah benteng diri sebelum engkau melangkah
Kau punya kekuatan menggoncang dunia
SENYUM MUJAHIDAH MENCARI SYAHID DI JALAN ALLAH......TAKBIR!!!!
Sekian wabillahhitaufiqwalhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh…
TEKS SPONSORED BY : NUDS NAJAHAH
EDITED BY : MAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam. Ini teks pidato pd 22hb ni ke? Semoga berjaya...
IAllah
Post a Comment