OUTREACH XPDC DAKWAH –PART 2

Friday, March 20, 2009

0 Komentar

Mohon maaf di atas kelewatan menyambung penceritaan.. Kesibukan sewaktu hari bekerja dan program di hari minggu tidak memudahkan saya untuk memperuntukkan masa bagi memperkembangkan penulisan. Namun saya cuba seadanya sedikit demi sedikit.

Hari ketiga di Sandakan, pihak kami terus dengan kerja-kerja menyampaikan sumbangan kepada penduduk di sekitar Kinabatangan. Keluasan tanah yang agak besar membuatkan perjalanan dari satu rumah ke satu rumah memerlukan kami menaiki kenderaan. Mujurlah pihak penganjur disana telah sediakan van sewa dengan pemandu yang efektif.Terima kasih tidak terhingga di ucapkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah di atas kesungguhan yang di tunjukkan.



Sementelaah program yang sangat memerlukan komitmen dan perbelanjaan yang besar ini, syukran jazilan diucapkan juga kepada Pihak HPA di atas sumbangan yang berjumlah agak besar dalam menjayakan misi ini. Moga perniagaan HPA terus maju dan menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada kemajuan misi dakwah ummah..ameen




Destinasi terakhir bagi kami menyampaikan sumbangan pada hari ketiga ditutup dengan ceramah kelompok dan juga tayangan slide show berkenaan manifesto program, di salah sebuah rumah penghulu kampong dikawasan Bukit Garam. Pihak penghulu telah memohon maaf di atas kekurangan jemputan pada hari tersebut di sebabkan masalah sejarah sebelum ini. Katanya memandangkan sebelum ini beliau pernah diminta untuk mengumpulkan penduduk bagi sesuatu program ( pastinya bukan anjuran PAS ), akhirnya setelah sekalian ramai yang hadir, program dibatalkan saat akhir. Enggan mengambil risiko, penduduk yang datang sebahagian cuma. Namun bagi pihak kami, wamakaru wamakarullah, wallahukahirul makirin..tidak mengapa asalkan yang sedikit mendapat keberkatannya..mudah mudahan..



Tidak dilupakan rombongan kami yang lebih ramai di wakili anak muda, berkesempatan di ambil sebagai anak angkat oleh ibu-ibu disana Saya tidak ketinggalan , mendapat ibu angkat yang ketiga selepas johor dan Sarawak. Dan pastinya ibu kandung yang dicintai di Pulau-pinang. Mohon doa agar mak cepat sembuh..anak yang selalu saja tidak kesempatan pulang ke kampong hanya mampu kirimkan doa..



Hari ke empat adalah hari yang sangat penting buat rombongan kami kerana program Kaunseling Undang-undang dan hak ini bakal membincangkan topic yang menjadi tanda tanya sekian lama penduduk di sini. Jemputan ahli panel forum adalah Senator Mumtaz, Ahli Dewan Negara dan juga Hjh. Hazizah seorang peguam muda ,anak kelahiran Sabah yang memiliki firma guaman sendiri.



Diberi amanah sebagai MC majlis, saya tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama sepenuhnya bersama ahli panel bagi mendengar permasalah penduduk berkenaan Undang-undang. Sedih , terkilan, kecewa dan pelbagai lagi perasaan yang timbul. Bayangkan mereka yang sudah tinggal lebih 20 tahun di Sabah masih belum mendapat hak penduduk tetap, tidak boleh membuat Kad pengenalan, dan yang paling menyedihkan ada juga dikalangan anak-anak mereka yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Namun yang peliknya setiap kali pilihan raya, mereka layak mengundi menggunakan kad pengenalan yang diperolehi serta merta, namun untuk urusan lain, kad pengenalan tersebut di dapati tidak sah. Melalui,pengamatan saya, di Malaysia, setiap jabatan kerajaan seperti KWSP, LHDN, dan banyak lagi, tidak mempunyai data yang terus daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Oleh itu, penerimaan kad pengenalan diri adalah berbeza bagi setiap Jabatan. Mangsanya adalah rakyat, yang terpaksa melalui pelbagai karenah birokrasi. Lebih malang sekali sekiranya mereka berasal dari kawasan pendalaman Sabah, yang mana untuk pergi ke kawasan Bandar mengambil masa yang agak lama serta mereka pula dari kalangan masyarakat kategori miskin!! Tidak terbayang oleh kita, betapa kasihannya mereka di anak tiri kan dibumi sendiri.

Seterusnya ada yang terpaksa mengambil jalan belakang dengan membuat kad pengenalan menerusi agen haram ( pelik tapi benar kerana kad pengenalan ini didapati sah ) dan ada juga mengambil keputusan untuk pergi ke Indonesia, dan kemudian masuk semula ke Sabah menerusi passport. Aneh dan kasihan, inilah masalah yang telah sekian lama membelenggu masyarakat disini. Alhamdulillah sedikit usaha pihak Kempen Kita Bersaudara, dengan jemputan Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz telah berjanji akan membawa perkara ini ke Dewan Negara.

Acara forum yang pada awalnya agak formal bertukar sedikit kelam kabut akibat ramai dikalangan hadirin yang beratur untuk berjumpa dengan ahli panel bagi menyampaikan permasaalahan mereka. Ada juga yang terus membawa segala dokumen bagi dijadikan bukti. Walaubagaimanapun ahli panel kita yang sememangnya berjiwa rakyat setia membantu seadanya.

“ Kita cuba bawa perkara ini habis-habisan kepada mereka yang bertanggungjawab , minta mereka selesaikan dengan segera, jika tidak cukup tenaga kerja, kita tambah, kita selesaikan masalah, jika tidak boleh jugak, serahkan saja SABAH kepada kami”

itulah kata-kata daripada Senator Mumtaz sebelum mengakhiri ucapannya sekaligus mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.



Episod yang berlangsung pada petang itu menyaksikan seribu satu harapan kepada pihak kami dan juga hadirin yang mewakili suara rakyat Sandakan khususnya. Kepada mereka yang berkemampuan membantu, cuba lah sedaya anda. Tidak tergamak rasanya melihat rakyat kita merempat bak pengemis di bumi merdeka, Negeri Di Bawah bayu..

Selesai program, rombongan kami tidak melepaskan peluang melepaskan lelah sambil menikmati keenakan ikan bakar di Medan Ikan Bakar terkenal di Sandakan. Kali kedua makan selepas sampai ke sabah, kali ini agak berbeza dengan hadirnya Ahli Dewan Negara. Idola saya..


AKHIRNYA AIR MATAKU TUMPAH DISANDAKAN


Kami sampai di penginapan lewat 6petang, setelah solat maghrib, kami mengambil keputusan untuk “Jalan-jalan cari mad’u” dikawasan tembok Bandar Sandakan. Tempat ini menjadi tumpuan muda-mudi bagi melepaskan ‘lelah’ selepas waktu bekerja.

Terlewat sehari ke Sandakan menyebabkan saya dan 4 orang sahabat terlepas episod pertama dakwah di tembok. Muda mudi Islam menonggak Carlsberg tanpa mengetahui yang ianya adalah sejenis arak adalah cerita yang amat memilukan hati sesiapa yang mendengarnya. Benarlah kejahilan menyebabkan kita kufur dan akhirnya boleh dicampak ke neraka. Waiyazubillah..

Perbezaan mendekati mad’u di KL dan di Sandakan adalah dari segi penerimaan dan juga cara teguran. Masyarakat KL atau remajanya majoriti menghadapi masalah moral disebabkan faktor persekitaran, keluarga, masyarakat, kawan-kawan dan sebagainya. Di sini, selain faktor-faktor tersebut, faktor utama yang dapat kami simpulkan adalah
kejahilan atau dalam erti kata lain, Islam belum sampai sepenuhnya kepada mereka.

Memandangkan di Sabah Islam bukanlah agama rasmi seperti mana disemenanjung, maka iklan arak sangat berleluasa ( hanya seperti mengiklankan sympu). Selain itu golongan yang betul-betul memhami Islam amatlah sedikit berbanding masyarakatnya yang mempunyai rekod paling tinggi dalam peningkatan populasi.

Kami di pecahkan kepada 2 kumpulan bagi menjalankan XPDC. Alhamdulillah penerimaan yang baik daripada pihak mereka mengagumkan kami. Berkongsi pendapat, meluah rasa.



Adik Jefry dan adik shahrul. 2 nama ini kami temui lewat XPDC sebelum berangkat pulang. Mendengar cerita mereka yang dipinggirkan keluarga. Terpaksa pula bekerja seawal jam 7.00 pagi hingga jam 10.00 malam di kedai makan milik bangsa cina dengan gaji hanya RM300 sebulan. Itulah sebabnya mereka duduk disitu bagi melepaskan tekanan sehingga lewat malam .Dunia terasa tidak adil buat mereka.

Terus terang aku tidak tahu kak
..
itulah jawapan adik shahrul, sambil mengesat air matanya tatkala pihak kami menanyakan tentang jumlah waktu solat. Jauh sekali untuk tahu cara pelaksanaannya.. Kami hanya mampu tertunduk menahan kesedihan

Seusainya, hanya nasihat yang mampu kami berikan selain mengambil nombor contct mereka serta pesanan buat wakil perhubungan PAS Sandakan tentang peranan mereka. Moga-moga sedikit permulaan itu ada sambungannya selepas ini.



18/2/2009 bersamaan hari kelima Outreach XPDC Dakwah, Kempen Kita Bersaudara. Perjalanan ke Batu Sapi mengambil masa lebih kurang 40minit. Tempat pertama di tuju oleh pihak kami adalah ke rumah penghulu kampong bagi mempersiapkan tempat untuk ceramah kelompok pada pukul 2 petang. Setelah selesai, kami bergerak rumah –kerumah bagi menyampaikan jemputan serta mengedarkan risalah, kad kelendar PAS, serta button batch Kempen Kita Bersaudara.





Keadaan di sana, mengingatkan kawasan perumahan saya di Perai, lebih kurang 15 tahun yang lalu. Jarak rumah yang dekat dengan laut menyebabkan penduduk perlu membina rumah yang tinggi supaya tidak dinaiki air sewaktu air pasang. Seronok menyebarkan risalah setelah penat berjalan, singgah menikmati makanan penduduk tempatan, kenikmatan berdakwah serasa juga seperti melancong!!





Jam 2.30 petang, saya dan beberapa sahabat lain mengendalikan games Islamic untuk kanak-kanak, sementelaah ibu bapa mereka mengikuti ceramah kelompok. Seronok rasanya berkomunikasi dengan kanak-kanak Sandakan dalam dialek mereka. Satu lagi dialek yang saya semakin suka untuk menguasainya..

Jam 3.00 petang saya dan 4 orang sahabat telah bersiap sedia untuk pulang memandangkan komitmen kepada pekerjaan kami bakal menanti keesokan harinya. Walaupun hanya 5 hari disini, namun ianya cukup bermakna buat kami. Kami meninggalkan Sandakan dengan seribu satu perasaan dan doa. Moga Allah jodohkan lagi kami untuk sama-sama berkongsi kenikmatan Islam di sini.

Wallahutaalaa'lam..